Friday, November 27, 2009

CINTA LOMBOK



KUALA LUMPUR: Sikap romantis selain keinginan memenuhi adat keperkasaan lelaki andainya berjaya membawa pulang anak dara dari negara asing ke kampung halaman selepas keluar merantau, menyebabkan kira-kira 600 gadis dari negara ini terperangkap dalam ‘keramat cinta’ pemuda Lombok.

Mereka kini menjadi sebahagian penghuni Pulau Lombok, di timur Indonesia, namun hampir semua gadis yang berusia 13 hingga 30-an itu mengikut kekasih pemuda Lombok yang dikenali ketika lelaki terbabit bekerja di negara ini, atas kerelaan hati masing-masing.

Dipercayai keadaan itu berlaku berikutan lebih setengah juta lelaki daripada 2.5 juta penduduk Pulau Lombok yang majoritinya daripada suku kaum Sasak, berhijrah ke luar negara terutama Malaysia untuk mencari rezeki.

Situasi itu turut menyebabkan sesetengah kampung di pulau itu ketandusan lelaki sehingga terpaksa melantik ketua kampung di kalangan kaum wanita.

Migrasi lelaki dari negara jiran terutama pemuda Lombok kini diibarat satu evolusi atau ‘cross cultural evolution’ yang menyebabkan percampuran budaya apabila penghijrah itu bercampur gaul dengan penduduk negara ini.

Memang benar mereka (pemuda Lombok) berhijrah ke negara ini untuk bekerja, tetapi tidak boleh dinafikan secara biologi mereka juga mempunyai naluri ingin mendampingi wanita.

“Mungkin pilihan termudah yang ada bagi mereka ialah gadis naif di bawah umur. Pada masa sama gadis yang dipilih itu sangat bahagia apabila dilayan dengan pujuk rayu,” katanya apabila diminta mengulas kes membabitkan gadis negara ini yang lari meninggalkan keluarga demi mengikut kekasih mereka ke pulau itu.

Bagaimanapun, kes berkenaan sebenarnya meruntun hati lebih-lebih di kalangan ibu bapa gadis apabila mengetahui anak tersayang lari begitu jauh ke seberang.

Tahun lalu, antara gadis yang terperangkap dalam keramat cinta pemuda Lombok dan kini bergelar isteri ialah Che Siti Nor Azreen Che Ishak, 14; Nur Liyana Abd Rahim, 19; Noor Fadilah Ahmad, 19; Sanisah Abu Bakar, 34; Nurul Wahida Hamzah, 21, dan Aishah Mokhtar, 28.

Terbaru, seorang pelajar yang juga artis remaja, Salsabila Yunan, 15, atau Bella turut cair dengan pujukan pemuda Lombok dan kini dilaporkan mengandung selepas berkahwin dengan lelaki yang membawanya ke pulau itu, Ogos lalu.

Felo Penyelidikan Utama, Institut Tamadun Alam Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Noriah Mohamed, yang sempat mengadakan kajian di Lombok dipetik berkata, adat istiadat perkahwinan dalam budaya masyarakat Lombok agak pelik kerana bakal pengantin perlu dibawa lari.

“Melarikan gadis yang disukai adalah perkara biasa bagi masyarakat di pulau itu dan ia menjadi tradisi berkurun-kurun lamanya. Tindakan pemuda Lombok melarikan gadis yang mereka cintai adalah bagi menunjukkan sikap kelelakian dan keperkasaan mereka.

“Bagaimanapun, gadis yang mereka larikan tidak akan `dirosakkan’. Minimum masa bakal pengantin perempuan dilarikan ialah tiga hari. Selepas itu, pemuda berkenaan perlu menghantar rombongan meminang pengantin perempuan,” katanya dalam satu laporan.

Bagaimanapun, Pemangku Duta Besar Malaysia di Jakarta, Amran Mohamed Zin, berkata jumlah wanita Malaysia yang dikesan di Lombok tidaklah seramai statistik didakwa Migrant Care itu.

Enggan mendedahkan angka sebenar, beliau berkata, pihak kedutaan memang ada menerima beberapa laporan kes wanita Malaysia berkahwin dan menetap di Lombok.

No comments:

Post a Comment

clock


Flash Clocks, Fun Clocks at WishAFriend.com